Pages

Wednesday 1 January 2014

Happy New Year 2014

Assalamualaikum w.b.t.
Selamat menyambut tahun baru 2014. Apa azam baru anda pada tahun ini... soalan cliche yang selalu ditanya. Pada saya, azam yang bertahun-tahun sudah pun masih gagal untuk dilaksanakan. Tumpang sedih untuk diri sendiri.
Okey, walau apapun azam anda & anda & anda di luar sana, harapan saya semoga tahun ini kita semua dikurniakan rezeki kesihatan yang sihat agar dapat menggandakan amal-ibadat, mencari rezeki yang halal buat keluarga & masyarakat & segalanya yang baik² sahaja & sentiasa dalam lindunganNya.
Membuka tirai 2014 ni, saya mulakan dengan menjamu keluarga dengan nasi dagang Trengganu (permintaan Encik Suami). Pada sesiapa yang confident dengan orang Perak yang cuba memasak nasi dagang Trengganu ni, bolehlah mencuba resepi di bawah. Tapi pada sesiapa yang kurang yakin, bolehlah google di internet.
NASI DAGANG TRENGGANU
Nasi Dagang
4 cawan beras wangi/basmathi, direndam selama 3 jam
2 cawan beras pulut, direndam selaman 8 jam/semalaman
1½ inci halia muda, dimayang
4 ulas bawang merah, dimayang
2 sudu teh halba
1½ biji kelapa (jadikan 1½ cawan pekat & 2½ cawan santan cair)
garam secukup rasa
Gulai Ikan Tongkol/Aya
1 kilo ikan tongkol, direbus
Bahan A: Dikisar Halus
2 sudu besar biji ketumbar
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
4 hiris lengkuas
2 hiris halia
1-2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
 Bahan B
8 sudu besar cili kisar
1½ liter santan (ikut kepekatan yang disukai)
1 batang kulit kayu manis
2 sudu besar kerisik
4-5 keping asam gelugor
½ buku kecil gula melaka/nesan
10-15 biji cili padi, diketuk
Ayam Percik
1 ekor ayam dibelah 4 (saya guna 2 bhgn saja)
Bahan Perapan: Dikisar/Ditumbuk
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
garam secukup rasa
Bahan Kuah Percik: Dikisar Halus
1 biji bawang holland/bawang besar
3 biji bawang merah
10 tangkai cili kering (kalau mahu kuah merah)
1 inci halia
sedikit belacan
Bahan Lain
2 cawan santan
1 keping asam gelugur
5 batang serai, diketuk, (2 batang digunakan untuk menyapu
kuah percik ke ke atas ayam bakar)
½ sudu teh halba
sedikit gula melaka/nesan
garam & gula secukup rasa
Acar Timun
1 biji timun, dihiris memanjang
1 biji carrot, dihiris memanjang
¼ biji kobis, disagat memanjang
1 biji cili merah, dipotong serong
1 biji cili hijau, dipotong serong
1 biji bawang besar, potong bulat
garam, gula & cuka secukup rasa
LANGKAH² PENYEDIAAN
1. Nasi Dagang: Didihkan air dalam periuk pengukus. Kalau lubang kukusan agak besar, alaskan dengan daun pandan/daun pisang. Tapi jangan sampai menutupi semua lubang² periuk, nanti mentah pula nasinya.
2. Cuci beras & toskan. Tuangkan ke dalam kukusan & kukus selama 25 minit/¾ masak. Angkat & arungkan (gaulkan) dengan santan cair & halia sehingga rata. Masukkan sekali lagi ke dalam kukusan. Kukuslah sehingga masak, ~ 20-30 minit. Angkat.
3. Sekali lagi arungkan pulut, kali ini dengan santan pekat yang telah dicampurkan dengan garam, bawang merah & halba. Arung sehingga agak lembut nasi tersebut.  Sesuaikan rasa & siap untuk dihidangkan.
4. Gulai Ikan Tongkol: Santan dimasak dengan api sederhana sehingga naik minyak. Dalam periuk lain, rebuskan ikan tongkol dengan asam keping lebih kurang 15 minit. Bila santan sudah naik minyak, masukkan Bahan A & kacau lagi sehingga naik minyak. 
5. Kemudian masukkan Bahan B & kacau sebentar. Api biar perlahan. Bila mendidih, masukkan ikan tongkol bersama air rebusan & asam keping tadi. Masukkan cili padi & reneh dengan api perlahan sehingga mendapat kepekatan kuah yang diingini. Siap.
6. Ayam Percik: Perap ayam dengan bahan perapan selama 1-2 jam. Bakar ayam menggunakan pan/oven. Kalau menggunakan pan, balik² ia agar masak sama rata.
7. Sementara itu, Masukkan santan & bahan kuah percik ke dalam periuk. Masak dengan api perlahan sehingga kuah agak pekat. Kacau selalu supaya tidak berkerak.
8. Masukkan 3 batang serai, asam gelugor, halba & gula melaka/nesan. Perasakan dengan gula & garam. Kacau sehingga mencapai kepekatan yang diingini.
9. Keluarkan ayam & renjis dengan kuah percik (menggunakan batang serai yang diketuk). Bakar lagi. Kemudian ulang lagi langkah yang sama sebanyak 3 kali. Kuah yang selebihnya dimasukkan ke dalam mangkuk & tuang ke atas ayam ketika menghidang.
10. Acar Timun: Rendam hirisan timun, carrot & kobis ke dalam air kapur sebentar. Toskan. Masukkan semua hirisan ke dalam mangkuk besar. Campurkan garam, gula & cuka. Sesuaikan rasanya. Siap.
Selamat mencuba..


No comments:

Post a Comment